Pendekatan Wasatiy Multaqa Asatizah & Duat Malaysia

Dalam menentukan dan menta’yinkan pendekatan wasatiy yang dimaskudkan oleh MURSHID, MURSHID cenderung untuk bersetuju dengan model wasatiy yang dijelaskan dengan lebih terang lagi jelas oleh Kesatuan Ulama Muslimin Antarabangsa, yang sama antara lainnya menentukan sikap seperti berikut:-

Asas Wasatiy di ambil firman Allah swt :-

كَذَلِكَ جَعَلْنَاكُمْ أُمَّةً وَسَطًا لِّتَكُونُواْ شُهَدَاء عَلَى النَّاسِ وَيَكُونَ الرَّسُولُ عَلَيْكُمْ شَهِيدًا

Ertinya : Dan demikian (pula) Kami telah menjadikan kamu (umat Islam), umat yang adil dan pilihan agar kamu menjadi saksi atas (perbuatan) manusia dan agar Rasul (Muhammad) menjadi saksi atas (perbuatan) kamu.. (Al-Baqarah, 2: 143)

Wasatiy yang para asatizah yakini adalah kesepaduan yang positif dalam segenap aspek lapangan kehidupan, sama ada dari sudut aqidah, amalan fizikal dan spriritual, individu dan kumpulan.

MURSHID meyakini bahawa ghuluw atau ekstremism dalam agama bakal merosakkan individu atau kumpulan, sebagaimana disebut Nabi

إياكم والغلو في الدين فإنه أهلك من كان قبلكم الغلو في الدين

Ertinya : Jauhilah melampau (ghuluw) dalam agama, kerana telah binasa mereka yang sebelummu disebabkan melampaunya mereka di dalam agama (Riwayat Ibn Majah dan Al-Nasaie dengan sanad yang sahih)

Pendekatan atau pemikiran wasatiy yang ingin disebarluaskan ini hampir semuanya diambil dari kefahaman ulama salafussoleh dan kontemporari iaitu:

  • Pertengahan atau sederhana DI ANTARA penyeru kepada mazhab yang terlalu sempit ( sehingga seolah yang selainnya adalah sesat dan salah) DENGAN mereka yang menyeru agar tiada perlu bermazhab untuk berpegang terus kepada teks Al-Quran dan Al-Hadis dengan tafsiran sendiri tanpa panduan mazhab.
  • Pertengahan atau sederhana DI ANTARA pengikut tasawwuf yang tidak mengambil kira walau wujud penyelewengan DENGAN mereka yang memusuhi tasawwuf walaupun sebahagiannya masih menuruti ajaran Islam sepenuhnya.
  • Pertengahan atau sederhana DI ANTARA golongan yang hanya menghukum menggunakan aqal hatta bercanggah nas qat’ie DENGAN kumpulan yang menolak hampir sepenuhnya fungsi aqal (literalis) dalam memahami nas yang anjal bentuk pelaksanaannya.
  • Pertengahan atau sederhana DI ANTARA mereka yang menafikan dalalah ilham secara mutlaq DENGAN mereka yang berlebih-lebihan dalam mengunapakainya sehingga menjadikannya sumber utama hukum Islam.
  • Pertengahan atau sederhana DI ANTARA mereka yang terlalu berkeras hatta dalam perkara cabang dan ranting DENGAN mereka yang mengajak kepada tasahul ( mengambil mudah) hingga dalam hal berkaitan usul dan kuliyyat.
  • Pertengahan atau sederhana DI ANTARA mereka yang terlalu memuliakan khazanah penulisan silam (turath) sehingga seolah menafikan kekurangan kemanusian seseorang manusia ( walaupun seorang ulama terhebat) DENGAN mereka yang berusaha menghilangkan terus relevansi khazanah silam, walaupun ternyata jelas kehebatan dan kejituan huraiannya.
  • Pertengahan atau sederhana DI ANTARA mereka yang terlalu obses dengan teori idealis sehingga kelihatan tidak mengambil kira praktikaliti dan suasana semasa DENGAN mereka yang terlalu mementingkan suasana semasa sehingga tidak mahu melihat langsung kepada yang ideal.
  • Pertengahan atau sederhana DI ANTARA mereka yang menyeru kepada falsafah liberal yang seolah menyucikan hak individu sehingga meninggikannya atas hak komuniti DENGAN mereka yang menyeru kepada falsafah sosialisme yang terlalu menyucikan komuniti sehingga menzalimi hak individu.
  • Pertengahan atau sederhana DI ANTARA mereka yang menyeru kepada kemestian menuruti apa sahaja yang dilakukan oleh Nabi walau dalam hal cabang dan medium urusan muamalat DENGAN mereka yang menyeru pembangunan dan pengubahan walau dalam hal asas dan prinsip Islam.
  • Pertengahan atau sederhana DI ANTARA mereka yang menyeru kepada tajdid dan ijtihad sehingga dalam urusan Usul Agama dan hal Qat’iyyat DENGAN mereka yang menyeru sepenuhnya kepada taqlid dan memusuhi ijtihad, walaupun dalam isu-isu semasa yang tidak pernah disentuh oleh ulama silam (kerana belum wujud).
  • Pertengahan atau sederhana DI ANTARA mereka yang mengabaikan nusus yang thabit dengan dakwan menjaga maqasid shariah DENGAN mereka yang mengabaikan pertimbangan Maqasid al-Shari’ah dengan dakwaan ingin menjaga nusus secara seratus peratus.
  • Pertengahan atau sederhana DI ANTARA mereka yang melampau-lampau dalam menyesat dan mengkafirkan DENGAN mereka yang terlalu bermudahan hingga kepada hal kemurtadan yang jelas terang dan mencabuli kehormatan Islam serta berkerja untuk musuh Islam.
  • Pertengahan atau sederhana DI ANTARA mereka yang melampau-lampau dalam menghukum haram atas perkara, sehingga hampir tiada yang boleh dianggap halal di atas dunia ini DENGAN mereka yang melampau dalam mengharuskan perkara, sehingga seolah tiada yang haram.
  • Pertengahan atau sederhana DI ANTARA mereka yang tenggelam dalam suasana lampau tidak menyedari perkembangan terkini DENGAN mereka yang melupakan sejarah seolah mahu memadamkan terus pengajaran lampau.

Itulah antara yang sama-sama MURSHID cenderung kepadanya, walau menyedari mungkin ada sebilangan kecil hal cabang yang MURSHID turut berbeza pendekatan dan kecenderungan hukumnya, namun prinsip asas dan umumnya adalah sama dan sepakat di antara kami.

Kami sepakat kami perlu berakhlak dalam mengendalikan perbezaan idea, pendekatan dan analisa hukum.

Kami sepakat jiwa yang luhur, ikhlas lagi bersih amat penting dalam melahirkan ilmuwan yang soleh dan masyarakat yang baik.

Kami sepakat bahawa guru-guru kami memainkan peranan penting dan memberi bekas terhadap cara gaya dan pendekatan dakwah kami, justeru carilah ramai guru agar tidaklah kita terikut hanya dengan satu acuan dan pendekatan, agar kita mampu melakukan perbandingan yang lebih adil. Membuka minda tidak tertutup.

Kami sepakat bahawa hal yang asas dan prinsip khususnya di dalam bab aqidah dan ibadat tidak boleh bersifat anjal dalam banyak perkara.

Kami juga yakin dan seakat bahawa kemahiran, penghayatan dan kedalaman seseorang ilmuwan di dalam ilmu Usul Fiqh (khususnya dalalah al-alfaz) dalam memahami Al-Quran & Al-Hadis mampu memberi kesan yang besar kepada pendekatannya, sama ada di dalam bab aqidah, ibadah, siyasah, muamalat dan lainnya. [2]